“Dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri - negeri di seluruh Malaysia adalah pada hari Khamis, 23 hb Mac 2023,” kedengaran suara Penyimpan Mohor Besar Raja Raja berkumandang di corong - corong radio dan televisyen. “Bulan Ramadan menjelang lagi, bulan yang sungguh nostalgik ,” bisikku dalam hati.


Sebagai budak Cina setahun jagung yang kurang memahami budaya orang Melayu, belajar di sekolah kebangsaan ternyata banyak cabarannya. “ Meng jom puasa sama sama esok,” ajak Khairul, sahabat akrabku di darjah dua. “Puasa tu apa?” tanyaku sambil menggaru garu kepala. “Ala, jangan makan dan minum sampai petang, faham?” Khairul cukup bersungguh sungguh dengan ajakannya. Aku cuma mengangguk angguk tanda bersetuju meskipun tidak begitu faham akan maksud “puasa” yang dijelaskan.


“Cikgu! cikgu! Meng dah pitam! Meng dah pitam!” pekikan rakan - rakan sekelasku ibarat halilintar membelah bumi. Mujur, aku hanya mengalami dehidrasi. Deringan telefon mematikan lamunanku. “Meng, besok dah puasa, jom puasa sekali,” ajak Khairul yang kini telah pun mendirikan rumah tangga. Mendengar ajakannya, aku hanya mampu tersenyum berkulum.