Aku amat bangga bergelar sebagai profesor Bahasa Melayu meskipun bukannya penutur jati. Semuanya kerana jasa ayahku yang bertegas mahu menghantarku ke sekolah kebangsaan. Dua orang kakakku pula dihantar ke sekolah Cina. Lama-kelamaan, bahasa Melayu sudah sebati dengan jiwaku. Memang benarlah kata orang tua-tua, “Alah bisa tegal biasa”.

 

Sungguhpun tidak menguasai bahasa Cina, aku tidak pernah menyesal apatah lagi menyalahkan ayahku atas keputusannya sebelum ini. Aku ialah rakyat Malaysia, bukannya rakyat China! Jangan salah faham, kebudayaan Cina masih kuhormati dan amalkan, tetapi kebudayaan nasional dan etnik perlu diseimbangkan. Janganlah kita memandang enteng peranan bahasa Melayu untuk menyatupadukan masyarakat majmuk.

 

“Pa, terima kasih kerana menghantar Lim ke sekolah kebangsaan,” ujarku dengan penuh kesyukuran. “Tapi, kenapa kakak dihantar ke sekolah Cina?” soalku. “Kalau perempuan, wajib tahu bahasa Cina, senang nak jadi kerani nanti. Lelaki pula kalau nak jadi pemandu lori perlu tahu baca papan tanda. Papan tanda ditulis dalam bahasa Melayu,” balas ayahku secara selamba.