Dahulunya, saya menyangka bahawa ayat yang kata kerjanya tiada imbuhan awalan semestinya salah dari sudut bahasa. Sangkaan ini dibuktikan salah setelah saya mulai mengapresiasi tatabahasa bahasa Melayu dan ralit berjinak-jinak dengan buku Tatabahasa Dewan yang diterima sebagai segala pedoman bagi tatabahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat sesungguhnya boleh wujud dalam berbagai-bagai bentuk. Kepelbagaian bentuk ayat dalam bahasa Melayu melibatkan penyusunan semula ayat sehingga terbentuknya variasi ayat yang beragam-ragam. 


Selain ayat aktif dan ayat pasif yang selalu kita lihat dalam penulisan sehari-hari, terdapat juga ayat aktif songsang dan ayat pasif songsang yang susunan ayatnya disongsangkan, iaitu kedudukan subjek dan predikat ayat saling bertukar. Sebagai contohnya, dalam ayat pasif dan ayat pasif songsang yang berikut, imbuhan awalan me- telah digugurkan:


                                                                            Ayat 1: Terima kasih / saya ucapkan. (ayat pasif)

                                                                                         (Subjek) / (Predikat)


                                                                           Ayat 2: Saya ucapkan / terima kasih. (ayat pasif songsang)
                                                                                        (Predikat) / (Subjek)


Ayat pasif songsang (Ayat 2) di atas dibentukkan dengan mengedepankan predikat ayat pasifnya sahaja (Ayat 1). Bagaimanakah pula bentuknya jika ayat-ayat pasif di atas ditukarkan kepada bentuk aktifnya? 


                                                                            Ayat 3: Saya / mengucapkan terima kasih. (ayat aktif)


Menurut tatabahasa bahasa Melayu, ayat pasif hanya dapat dibentukkan jika frasa kerja ayat merupakan frasa kerja transitif (FKT), iaitu kata kerjanya (K) yang diikuti objek yang terdiri daripada kata nama (KN) atau frasa nama (FN).

Contohnya, membeli makanan, membelikan ibu (makanan), memberikan peluang, memberi murid-murid (peluang), dsb. Dengan kata lain, ayat dengan frasa kerja tak transitif (FKTT) tidak boleh dipasifkan. Contoh frasa kerja tak transitif ialah berbasikal (ke sekolah), berdiri (sendirian), melompat (ke atas tangga), terjatuh (ke dalam longkang), dsb. 

 

Untuk mengubah ayat daripada bentuk aktif kepada bentuk pasif, ada peraturannya. Cuba kita kaji Ayat 4 dan Ayat 5 di bawah yang dikatakan tidak gramatis. Tahukah kamu kenapa?


                                                            Ayat 4: Terima kasih Ali ucapkan. (ayat pasif)

                                                            Ayat 5: Ali ucapkan terima kasih. (ayat pasif songsang)


Perbezaan antara Ayat 1 dan Ayat 2 dengan Ayat 4 dan Ayat 5 hanyalah subjeknya. Ayat 1 dan Ayat 2 terdiri daripada subjek yang merupakan kata ganti nama diri pertama iaitu saya, manakala subjek dalam Ayat 4 dan Ayat 5 merupakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu Ali


Mengikut tatabahasa bahasa Melayu lagi, jenis subjek dalam ayat yang akan menentukan bentuk kata kerja dalam satu-satu ayat pasif dan ayat pasif songsang yang dibentukkan. Sekiranya subjek ayat merupakan kata ganti nama diri pertama dan kedua seperti saya, kami, kita dan kamu, kata kerja yang diikuti oleh subjek dalam ayat pasif itu tidak boleh menerima imbuhan awalan di- (oleh) seperti yang kita lihat dalam Ayat 1. 



                                            Ayat 1: Terima kasih / saya ucapkan.






                                       
                                                       Antara beberapa pilihan buku aktiviti Bahasa Melayu yang boleh didapati di Pelangibooks.com


Sebaliknya, sekiranya subjek ayat merupakan kata ganti nama diri ketiga seperti dia, Ali dan mereka, kata kerja yang diikuti oleh subjek boleh menerima imbuhan awalan di- (oleh). “Oleh” dalam ayat pasif  juga boleh digugurkan.


                                       Ayat 6: Terima kasih / diucapkan (oleh) Ali.

                                       Ayat 7: Terima kasih / diucapkan (oleh) mereka.



Bagaimanakah pula bentuk ayatnya jika Ayat pasif 6 dan Ayat pasif 7 di atas ditukarkan kepada ayat pasif songsang? Caranya adalah hanya dengan mengedepankan predikat ayat seperti yang berikut:


                                    Ayat 8: Diucapkan (oleh) Ali / terima kasih.

                                                            Ayat 9: Diucapkan (oleh) mereka / terima kasih.


Sekarang, cuba kamu bandingkan Ayat 5 dengan Ayat 8 semula. Kamu akan jelas bahawa ayat 5 salah kerana menyalahi peraturan dalam pembinaan ayat mengikut tatabahasa bahasa Melayu yang standard. Oleh hal yang demikian, marilah kita tulis menggunakan  bahasa Melayu yang standard dan gramatis sebagai tanda kita mengapresiasi dan menjunjung tinggi bahasa kebangsaan kita yang unik dan indah.


                                                                                              

                                                                                                Sumber gambar: The Economic Times



Ujian kendiri:

1.    Tukarkan Ayat 6 dan Ayat 7 dalam petikan di atas kepada ayat aktif masing-masing.

2.    Nyatakan sama ada ayat-ayat di bawah adalah betul atau salah.
Selepas itu, nyatakan jenis ayat yang betul itu sama ada ayat aktif, ayat pasif atau ayat pasif songsang.

(a) Nasi lemak yang basi itu telah Ali buang.

(b) Nasi lemak yang basi itu telah dibuang Ali.

(c) Nasi lemak yang basi itu telah saya buang.

(d) Telah dibuang Ali nasi lemak yang basi itu.

(e) Telah saya buang nasi lemak yang basi itu.

(f) Ali telah buang nasi lemak yang basi itu.

(g) Saya telah buang nasi lemak yang basi itu.

(h) Saya telah membuang nasi lemak yang basi itu.



*Sila semak jawapan di sini.



Rujukan:

  1. Tatabahasa Dewan, Ragam Ayat, muka surat 349-350.
  2. Tatabahasa Dewan, Susunan Songsang, muka surat 478-483.
  3. Tatabahasa Dewan, Ayat Aktif dan Ayat Pasif, muka surat 483-492.

      Artikel ditulis oleh: Melvin Lim