Pengenalan

Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud “kesukaran” dan lexis yang bermaksud “bahasa”. Secara literalnya, disleksia bermaksud “kesukaran untuk berbahasa” (Ott, 1997). Kanak-kanak disleksia lazimnya menghadapi masalah dalam pembacaan, ejaan, penulisan serta beberapa aspek bahasa yang lain (Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan, 2006: 11). Teori Sindrom Disleksia yang dikemukakan oleh Levinson (1994) boleh dijadikan garis panduan untuk mengenal pasti mekanisme kesalahan ejaan dalam penulisan kanak-kanak disleksia. Dalam teori ini, Levinson menggariskan tujuh mekanisme kesalahan dalam aspek bacaan dan tulisan, iaitu pemindahan, penyisipan, penggantian, pengguguran, pemeluwapan, pembalikan dan agakan atau suka-suka. Dalam artikel ini, mekanisme kesalahan yang dibincangkan ialah pengguguran huruf daripada perkataan yang dibaca. Contohnya adalah seperti yang berikut:

 

Untuk mengatasi masalah pengguguran huruf dalam kalangan kanak-kanak disleksia, satu siri langkah intervensi telah dicadangkan dalam artikel ini. Langkah intervensi yang dicadangkan perlu dilakukan mengikut urutan agar dapat mencapai tahap keberkesanan yang lebih tinggi.

 

 

Langkah Intervensi 1

Kanak-kanak disleksia diminta supaya membaca satu patah perkataan. Sebagai contohnya, perkataan “basikal”. Untuk memudahkan pembacaan perkataan “basikal”, saiz perkataan tersebut diperbesar dan huruf-huruf perkataan tersebut juga dijarakkan. Bagi merangsang deria pelihatan kanak-kanak disleksia agar mereka dapat mengenali serta mengingati perkataan yang dibaca, setiap huruf perkataan tersebut diwarnakan dengan warna panas. Warna panas seperti merah dan jingga dipercayai dapat merangsang pelihatan kanak- kanak disleksia berbanding dengan warna hitam dan putih. Selain itu, gambar “basikal” turut disertakan agar kanak-kanak disleksia dapat menghubung kait perkataan yang dibaca dengan objek yang sebenar di dunia realiti. Apabila kanak-kanak disleksia berjaya menghafal dan mengingati perkataan “basikal” yang diberikan, saiz perkataan akan dikecilkan secara berperingkat. Jarak antara huruf perkataan juga akan didekatkan peringkat demi peringkat sehingga huruf-huruf tersebut bercantum menjadi perkataan yang biasa kita baca.

 

Langkah intervensi 1 ini akan diulangi sehingga kanak-kanak disleksia dapat membaca perkataan “basikal” pada setiap peringkat dengan jayanya. Apabila langkah intervensi 1 telah berjaya, langkah intervensi 2 akan diteruskan bagi mengukuhkan ingatan yang terpahat dalam minda kanak-kanak disleksia. Untuk memotivasikan kanak-kanak disleksia yang berjaya melalui intervensi 1, ganjaran dalam bentuk pelekat gambar atau kartun akan diberikan. Profesor Dr. Vijayaletchumy Subramaniam, pensyarah kursus Psikolinguistik Lanjutan di Universiti Putra Malaysia menyatakan bahawa ganjaran sedemikian sebenarnya amat digalakkan kerana pendekatan yang sama juga digunakan oleh pakar-pakar dalam bidang disleksia di Kanada. Motivasi kanak-kanak disleksia adalah antara faktor utama yang menentukan tahap keberkesanan sesuatu langkah intervensi yang diperkenalkan. Suatu langkah intervensi yang dianggap efektif tidak akan mendatangkan sebarang impak sekiranya kanak-kanak disleksia tidak mempunyai motivasi untuk meneruskan langkah-langkah intervensi yang diperkenalkan.

 

Contoh langkah intervensi 1 adalah seperti di bawah:

 

 

Langkah Intervensi 2

Pada peringkat permulaan langkah intervensi 2, kanak-kanak disleksia diminta supaya menulis perkataan “basikal” pada petak-petak yang disediakan. Ejaan perkataan “basikal” yang betul akan diberikan kepada kanak-kanak disleksia sebagai panduan untuk mengisi petak-petak yang disediakan. Penggunaan petak-petak yang disediakan dapat menyedarkan kanak-kanak disleksia tentang pengguguran huruf-huruf tertentu semasa mengeja perkataan tertentu. Sekiranya kesalahan yang sama diulangi berkali-kali, kanak-kanak disleksia dapat mengenal pasti huruf-huruf yang sering kali digugurkan. Dengan ini, kesalahan yang sama akan cuba dielakkan agar ejaan yang betul dapat diperoleh. Ejaan yang betul sudah pastinya akan mempengaruhi pembacaan perkataan itu. Pada peringkat akhir langkah intervensi 2, kanak-kanak disleksia masih diminta supaya menulis perkataan “basikal” pada petak-petak yang disediakan tetapi ejaan perkataan “basikal” yang betul tidak akan diberikan. Tindakan ini bertujuan untuk merangsang ingatan kanak-kanak disleksia agar perkataan yang telah dipelajari sebelum ini akan kekal sebagai memori jangka masa panjang. Gambar “basikal” tetap disertakan agar kanak-kanak disleksia dapat menghubung kait perkataan yang dibaca dengan objek yang sebenar di dunia realiti. Contoh langkah intervensi 2 adalah seperti di bawah:

 

Peringkat Permulaan

  1. Ejaan perkataan “basikal” diberikan iaitu, b a s i k a l.
  2. Kanak-kanak disleksia perlu mengisi petak-petak yang disediakan.

 

Peringkat Akhir

  1. Ejaan perkataan “basikal” tidak diberikan.
  2. Kanak-kanak disleksia perlu mengisi petak-petak yang disediakan.

 

Langkah intervensi 2 ini akan diulangi sehingga kanak-kanak disleksia dapat mengisi perkataan “basikal” pada petak-petak yang disediakan dengan tepatnya tanpa menggugurkan mana-mana huruf perkataan itu. Apabila langkah intervensi 2 telah berjaya, langkah intervensi 3 akan diteruskan untuk menguji kanak-kanak disleksia yang telah melalui intervensi 1 dan 2 sama ada mereka mampu mengeja perkataan “basikal” dengan tepatnya. Ganjaran tetap akan diberikan kepada kanak-kanak disleksia yang berjaya melalui intervensi 2.

 

 

Langkah Intervensi 3

Kanak-kanak disleksia akan diajar untuk membunyikan suku kata yang membentuk perkataan “basikal” secara berterusan sehingga suku kata tersebut dapat diingati. Perkataan “basikal” terdiri daripada tiga suku kata, iaitu “ba”, “si”, “kal”. Apabila kanak-kanak disleksia berupaya untuk membunyikan suku kata “ba”, “si”, “kal” dengan tepatnya tanpa sebarang pengguguran bunyi, mereka akan diminta supaya melafazkan suku kata tersebut sekurang-kurangnya sepuluh kali. Sekiranya mereka dapat berbuat demikian tanpa sebarang kesalahan, mereka akan diuji sekali lagi dalam bentuk bertulis. Kanak-kanak disleksia akan diminta supaya membetulkan susunan suku kata “basikal” yang diberikan. Gambar “basikal” tetap disertakan agar kanak-kanak disleksia dapat menghubung kait perkataan yang dibaca dengan objek yang sebenar di dunia realiti.

 

Sekiranya kanak-kanak disleksia dapat membentuk susunan suku kata “basikal” dengan tepatnya, mereka akan diuji sekali lagi dengan cara yang sama, tetapi suku kata yang diberikan pada kali ini melebihi tiga suku kata. Tindakan ini bertujuan untuk mengelirukan kanak-kanak disleksia dan untuk mendapatkan kepastian sama ada susunan suku kata “basikal” yang telah dipelajari masih dapat diingati. Sekiranya kanak-kanak disleksia tidak dapat membentuk susunan suku kata “basikal” yang tepat, mereka akan diminta supaya mengulangi langkah intervensi 3 dari mula hingga akhir untuk sekali lagi.

 

 

Langkah intervensi 4 akan diteruskan sekiranya kanak-kanak disleksia dapat membunyikan suku kata “ba”, “si”, “kal” dengan tepatnya serta tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyusun suku kata “ba”, “si”, “kal” bagi membentuk perkataan “basikal”. Ganjaran tetap akan diberikan kepada kanak-kanak disleksia yang berjaya melalui intervensi 3 agar mereka mempunyai motivasi dan minat untuk menjalani langkah intervensi yang seterusnya. Bagi kanak-kanak disleksia yang menghadapi masalah untuk membunyikan suku kata “ba”, “si”, “kal” walaupun telah menjalani intervensi 3 untuk beberapa kali, rakaman audio dan visual akan disyorkan. Perkara ini memerlukan kerjasama daripada pihak ibu bapa. Ibu bapa akan diminta supaya merakamkan proses pengajaran tentang cara-cara membunyikan suku kata “ba”, “si”, “kal”. Rakaman tersebut perlu ditayangkan kepada kanak-kanak disleksia secara berulang kali di rumah agar konsep pembunyian suku kata dapat dikuasai. Kerjasama padu daripada ibu bapa secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap keberkesanan langkah intervensi yang diambil.

 

 

Langkah Intervensi 4

Kanak-kanak disleksia diminta supaya membaca satu petikan yang mempunyai perkataan “basikal” yang diulangi untuk beberapa kali. Kemudian, satu petikan yang sama akan diberikan kepada kanak-kanak disleksia tetapi semua perkataan “basikal” akan digantikan oleh tempat kosong yang perlu diisi oleh mereka. Petikan pertama yang akan diberikan kepada kanak-kanak disleksia adalah ringkas dan perkataan-perkataan dalam petikan tersebut diperbesar serta dijarakkan agar kanak-kanak disleksia dapat membacanya dengan lebih mudah. Contohnya adalah seperti di bawah:

 

 

Kanak-kanak disleksia yang dapat mengisi kesemua tempat kosong dengan perkataan “basikal” tanpa menggugurkan mana-mana huruf akan diberi satu petikan lagi. Kali ini, petikan yang diberikan juga mempunyai perkataan “basikal” yang diulangi untuk beberapa kali tetapi petikannya adalah lebih panjang serta menggunakan saiz huruf yang biasa. Jarak antara perkataan juga adalah sama seperti petikan yang lazim kita baca. Kanak-kanak disleksia diminta supaya membaca petikan yang diberikan. Kemudian, satu petikan yang sama akan diberikan kepada mereka tetapi semua perkataan “basikal” akan digantikan oleh tempat kosong yang perlu diisi oleh mereka. Kanak-kanak disleksia yang dapat melepasi intervensi 4 akan menerima ganjaran dan perlu menjalani langkah intervensi yang terakhir . Bagi yang masih gagal, mereka perlu mengulangi langkah intervensi 4 dari mula hingga akhir.

 

 

 

Langkah Intervensi 5

Langkah intervensi 5 merupakan intervensi yang terakhir. Langkah ini akan membuktikan keberkesanan langkah intervensi 1 hingga 4 untuk mengatasi masalah pengguguran huruf dalam kalangan kanak-kanak disleksia. Dalam intervensi ini, tiada sebarang panduan akan diberikan kerana kanak-kanak disleksia yang sudah melepasi intervensi 1 hingga 4 dengan jayanya dianggap dapat mengeja dan membunyikan perkataan “basikal” tanpa sebarang kesalahan. Pada peringkat akhir ini, kanak-kanak disleksia diminta supaya menulis perkataan “basikal” sebanyak 20 kali. Selain itu, mereka juga perlu membunyikan perkataan “basikal” secara tepat sebanyak 20 kali.

BASIKAL X 20

 

Kesimpulan

Kanak-kanak disleksia yang telah menjalani langkah intervensi pertama hingga yang terakhir dengan jayanya berkemungkinan tidak akan menggugurkan huruf lagi apabila mengeja ataupun membunyikan sesuatu perkataan. Walau bagaimanapun, langkah-langkah intervensi yang dikemukakan dalam artikel ini hanyalah cadangan semata-mata. Untuk memastikan cadangan ini benar-benar berkesan, pelbagai ujian rintis perlu dilakukan terlebih dahulu. Perkara pokoknya ialah kanak-kanak disleksia memerlukan perhatian yang sewajarnya daripada semua pihak. Oleh itu, pelbagai kajian dan penyelidikan saintifik perlu dilakukan agar kanak-kanak disleksia tidak lagi dikategorikan sebagai orang kurang upaya, sebaliknya dimartabatkan sebagai orang kelebihan upaya.

 

 

 

Artikel Ditulis Oleh:

Shuit Siew Choong (Munsyi Dewan)