Sistem Posesif

 

Secara umumnya, sistem posesif bahasa Melayu dan bahasa Inggeris memperlihatkan perbezaan yang ketara. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata posesif. Untuk menyatakan perihal posesif dalam bahasa Melayu, pengguna bahasa Melayu hanya perlu menggabungkan kata nama, iaitu objek yang dimiliki dengan kata ganti nama diri orang. Sebagai contohnya, ‘kereta saya’, iaitu ‘kereta’ sebagai kata nama (objek yang dimiliki) manakala ‘saya’ sebagai kata ganti nama diri orang.

 

 

Berbeza daripada bahasa Melayu, bahasa Inggeris mempunyai kata-kata posesif untuk menyatakan perihal kepunyaan atau pemilikan. Misalnya, ‘kereta saya’ tidak ditulis sebagai ‘I car’ dalam bahasa Inggeris, sebaliknya ditukarkan menjadi ‘my car’. Penggunaan kata ‘my’ dalam contoh tersebut jelas menunjukkan bahawa bahasa Inggeris mempunyai kata-kata posesif. Ayat ‘kereta kamu’ juga tidak boleh ditulis sebagai ‘you car’ dalam bahasa Inggeris, sebaliknya ditukarkan menjadi ‘your car’. Penggunaan kata ‘your’ dalam bahasa Inggeris turut membuktikan kewujudan kata-kata posesif untuk menyatakan perihal kepunyaan dan pemilikan. Perbezaan sistem posesif bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris adalah seperti yang berikut:

 

 

 

Perbezaan Sistem Posesif Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris

 

 

                                                                

 

Kata-kata Posesif dalam Bahasa Inggeris

 

 

 

Tuntasnya, bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata posesif yang nyata. Untuk menyatakan perihal kepunyaan atau pemilikan dalam bahasa Melayu, kata nama, iaitu objek yang dimiliki akan digabungkan dengan kata ganti nama diri orang. Bahasa Inggeris pula mempunyai kata-kata posesif untuk menyatakan perihal kepunyaan atau pemilikan.

 

 

Bentuk Kata Tanya

 

Sebagaimana yang kita ketahui, kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan atau menyoalkan sesuatu. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bentuk kata tanya yang hampir sama.  Persamaannya dijelaskan melalui jadual di bawah:

 

 

 

 

Bentuk Kata Tanya dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris

 

 

 

Berdasarkan jadual di atas, didapati bahawa bentuk kata tanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah hampir sama. Sebagai contohnya, “Mengapakah kamu menangis?” dalam bahasa Melayu akan ditulis sebagai “Why are you crying?” dalam bahasa Inggeris. Fungsi kata tanya ‘mengapa’ dan ‘why’ adalah sama. Perbezaannya ialah kata tanya dalam bahasa Melayu yang digunakan di hadapan ayat mestilah disertai oleh partikel ‘-kah’. Oleh itu, ‘mengapa’ ditulis sebagai ‘mengapakah’ dalam contoh tersebut. Penggunaan partikel ‘-kah’ tidak wujud dalam bahasa Inggeris.

 

Selain itu, kata tanya ‘apa’ dalam bahasa Melayu tidak boleh digunakan untuk menanyakan nama orang, sebaliknya kata tanya ‘what’ dalam bahasa Inggeris boleh digunakan untuk menanyakan nama orang. Sebagai contohnya, “What is your name?” dalam bahasa Inggeris ditulis sebagai “Siapakah nama kamu?” dalam bahasa Melayu, bukannya “Apakah nama kamu?”. Kekecualian ini diguna pakai dalam bahasa Melayu.

 

Kata tanya dalam bahasa Melayu boleh digunakan di hadapan atau di belakang ayat. Misalnya, “Siapakah nama kamu”? juga boleh ditulis sebagai “Nama kamu siapa?”. Apabila kata tanya dalam bahasa Melayu digunakan di belakang ayat, maka partikel ‘-kah’ akan digugurkan. Berbeza daripada bahasa Melayu, kata tanya dalam bahasa Inggeris boleh digunakan di hadapan ayat sahaja. Sebagai contohnya, “What is your name?” tidak boleh ditulis sebagai “Your name is what?”.

 

 

Jelasnya, fungsi bentuk kata tanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah hampir sama. Perbezaannya ialah penggunaan partikel ‘-kah’ dalam kata tanya bahasa Melayu yang dikedepankan, penggunaan ‘siapa’ untuk menanyakan nama orang, bukannya ‘apa’ dalam bahasa Melayu. Di samping itu, kata tanya dalam bahasa Melayu boleh digunakan di hadapan atau di belakang ayat manakala kata tanya dalam bahasa Inggeris hanya boleh digunakan di hadapan ayat.

 

 

Sistem Kala (Tenses)

 

 

Sistem kala digunakan dalam bahasa-bahasa tertentu untuk menyatakan waktu atau masa sesuatu perbuatan yang dilakukan. Dalam hal ini, bahasa Melayu tidak mempunyai sistem kala. Untuk menyatakan waktu atau masa sesuatu perbuatan, pengguna bahasa Melayu akan menggunakan kata bantu aspek seperti ‘sudah’, ‘pernah’, ‘belum’ ‘sedang’ dan sebagainya. Dalam bahasa Inggeris pula, sistem kala seperti ‘present tense’ dan ‘past tense’ wujud dan akan mempengaruhi kegramatisan ayat-ayat yang ditulis. Perbezaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dari segi sistem kala adalah seperti yang berikut:

 

Perbezaan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris dari Segi Sistem Kala

 

 

 

Berdasarkan jadual di atas, perkataan ‘pergi’ dalam bahasa Inggeris sepatutnya ialah ‘go’. Perkataan ‘go’ berubah menjadi ‘went’ untuk menunjukkan kala lampau, iaitu sesuatu yang sudah berlaku. Sama halnya dengan perkataan ‘finish’ berubah menjadi ‘finished’ dan perkataan ‘wash’ berubah menjadi ‘washed’. Perubahan ini membuktikan kewujudan sistem kala dalam bahasa Inggeris.

 

Jelasnya, bahasa Melayu tidak mempunyai sistem kala, sebaliknya menggunakan kata bantu aspek untuk menyatakan waktu atau masa sesuatu perbuatan. Sistem kala pula wujud dalam bahasa Inggeris seperti ‘present tense’ dan ‘past tense’.

 

 

Kata Ganti Nama Diri Orang

 

Kata ganti nama diri orang dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai persamaan yang ketara, iaitu dibahagikan kepada kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga. Contohnya adalah seperti yang berikut:

 

 Perbezaan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris dari Segi Sistem Kala

 

 

 

 

Berdasarkan jadual di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai persamaan dari segi kata ganti nama diri orang. Walau bagaimanapun, kata ganti nama diri orang dalam bahasa Melayu adalah lebih banyak dalam bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris. Hal ini berkait rapat dengan konteks sosial sesuatu masyarakat.

 

Masyarakat Melayu menggunakan kata ganti nama diri orang yang berlainan dalam situasi yang berlainan untuk menunjukkan kesantunan bahasa dan penghormatan kepada seseorang. Sebagai contohnya, semasa orang Melayu bertutur dengan sultan, kata ganti kata nama diri orang ‘tuanku’ akan digunakan untuk merujuk sultan, bukannya ‘kamu’ kerana penggunaan kata ganti nama diri orang ‘kamu’ dianggap biadab dan tidak beradab. Hal ini dikatakan demikian kerana sultan merupakan pemerintah tertinggi yang mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam masyarakat Melayu. Sama halnya dengan penggunaan kata ganti nama diri orang ‘beliau’ dalam kalangan masyarakat Melayu untuk merujuk orang yang dihormati. Penggunaan kata ganti nama diri orang mengikut konteks sosial tidak dapat dilihat dengan jelasnya dalam bahasa Inggeris kerana masyarakat Barat mempunyai kebudayaan dan cara hidup yang berbeza daripada masyarakat Melayu.

 

 

Jelasnya, kata ganti nama diri orang dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dapat dibahagikan kepada kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga. Perbezaannya ialah kata ganti nama diri orang dalam bahasa Melayu dipengaruhi oleh konteks sosial manakala kata ganti nama diri orang dalam bahasa Inggeris jarang-jarang mempunyai sifat sedemikian.

 

 

Kesimpulan

 

Sebagai kesimpulannya, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai persamaan dan perbezaan apabila dibandingkan dari segi sistem posesif, bentuk kata tanya, sistem kala (tenses) dan kata ganti nama diri orang.

 

Perbandingan antara dua bahasa adalah amat penting bagi pengkaji bahasa untuk mengetahui sifat-sifat bahasa yang dikaji dan sifat-sifat universal bahasa di seluruh dunia.

 

 

Analisis bezaan antara bahasa juga dapat mengurangkan kesilapan seseorang dalam penggunaan sesuatu bahasa, terutamanya masyarakat Malaysia yang mengetahui pelbagai bahasa (multilinguisme). 


 

Bibliografi

Abdul Ghalib Yunus dan Ghazali Lateh. (2009). Bahasa Malaysia PMR. Petaling Jaya: Pearson Malaysia.

 Che Ibrahim Salleh. (2010). Modul Pembelajaran Tatabahasa Melayu BBM 3203. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

 Matilda Xavier dan Kamala Ganeshan. (2019). Xpress Pintar Tingkatan 4.5 SPM English 1119. Petaling Jaya: Sasbadi.

 Milon Nandy. (1997). Correct English Made Easy. Ampang: Eurasia-Pacific Books.

 Milon Nandy. (1997). Correct Sentence for Everyday English. Ampang: Eurasia-Pacific Books.

 Nik Safiah Karim. (2001). Bahasa Melayu Kertas 2. Selangor: Fajar Bakti.

 Nik Safiah Karim. (2003). Bimbingan Pelajar Bahasa Kita Jilid 2. Selangor Darul Ehsan: Cerdik Publications Sdn Bhd.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2011). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Artikel Ditulis Oleh:

Shuit Siew Choong (Munsyi Dewan)