Pada 5 Mei 2021, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin telah mengumumkan pemansuhan peperiksaan UPSR dan pembatalan peperiksaan PT3. Kedua-dua peperiksaan ini akan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh.

 

Sejurus selepas pengumuman pemansuhan serta pembatalan kedua-dua peperiksaan tersebut dilakukan, rata-rata ramai ibu bapa yang berasa bimbang dan kurang senang akan keputusan tersebut. Hal ini kerana mereka merasakan ketiadaan peperiksaan UPSR dan PT3 khususnya, mungkin akan mewujudkan ketipisan peluang bagi melayakkan anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangassan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

 

Namun, tidak kurang juga terdapat segelintir ibu bapa yang bersetuju akan keputusan pembatalan peperiksaan tersebut kerana ianya dapat membantu mengurangkan bebanan tekanan para pelajar dalam memastikan mereka mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan. Tambahan pula, tidak dinafikan, proses pembelajaran mulai terjejas berpunca daripada penularan pandemik Covid-19 di dalam negara yang bermula sejak Mac 2020 sehingga kini.

 

Justeru, pengenalan mengenai konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) amatlah penting agar ibu-bapa serta masyarakat setempat dapat memahami erti, konsep serta intipati sistem pentaksiran yang bakal dihadapi oleh para pelajar. 

 

 

 

Apakah Maksud Serta Konsep PBS Dan PBD?

 

                                                                                                          

 

                                                                            Rajah 1: Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah

 

PBS, atau nama penuhnya Pentaksiran Berasaskan Sekolah, ialah suatu pentaksiran yang bersifat holistik untuk menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). PBS selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan dimulakan pada tahun 2011 (Rajah 1).

 

Terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Mulai tahun 2016, Pentaksiran Sekolah (PS) dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

 

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD membantu dalam lebih memahami sejauh mana murid tahu, faham, boleh buat serta telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan Standard Prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

 

Harus difahami, PBD tidak bertujuan untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

 

Melalui PBD, guru dapat mengesan perkembangan murid secara menyeluruh sambil mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran. Disamping itu, PBD dapat membantu para guru dalam mengetahui keberkesanan pembelajaran semasa dan mengubah suai kaedah pengajaran mengikut perkembangan pembelajaran murid.

 

Secara langsung, PBD memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran yang berasaskan sekolah. Hal ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan serta mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta demi meningkatkan prestasi murid.

 

Peranan guru semakin penting kerana kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terletak pada pihak sekolah. Pelaksanaan PBD akan melibatkan sebanyak 236,993 orang guru dan 2,741,837 orang murid di 7,780 buah sekolah rendah; dan 179,750 orang guru dan 2,037,433 orang murid di 2,440 buah sekolah menengah di seluruh Malaysia.

 

 

Dengan pelaksanaan PBD, perkembangan murid dapat diselia dan dididik dengan lebih berkesan. Hal ini kerana PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran yang menyeluruh dari segi pemerhatian, penulisan serta lisan. Antara aktiviti mahupun latihan kerja yang dilaksanakan adalah projek, kuiz, pembentangan serta boleh melibatkan penyertaan para pelajar dengan menggunakan sosial media seperti memuat naik hasil kerja mereka di laman YouTube, TikTok mahupun Instagram berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.

 

 

Fahami Maksud Standard Prestasi

 

 

                                                    

                                                               Rajah 2: Komponen Standard Prestasi Dibawah PBD

 

 

 

Pelaksanaan PBD adalah berlandaskan Standard Prestasi (Rajah 2). Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang murid dalam sesuatu bidang, yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Dengan berlandaskan Standard Prestasi, pelajar akan tahu dengan lebih jelas apa yang perlu dikuasai atau dicapai.

 

Senarai Standard Prestasi telah dinyatakan dalam (DSKP) bagi setiap mata pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah Semakan (KSSR Semakan) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang dilaksanakan sejak tahun 2017. Standard Prestasi turut boleh dijadikan sebagai kayu ukur standard pendidikan negara.

 

Standard Prestasi tersebut telah diletakkan dalam kategori mengikut band bermula dari band satu sehinggalah kepada band enam. Setiap daripada band tersebut mempunyai objektif serta tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu.

Standard Prestasi bukan hanya melibatkan para guru dan murid, malah ia turut menjadi sumber rujukan buat ibu bapa, pihak yang berkepentingan serta semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung untuk menunjukkan dengan jelas matlamat yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan. Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

 

Konklusinya, PBS dan PBD mempunyai garis panduan yang amat jelas, jitu serta meliputi konsep yang menyeluruh dalam memperkasakan sistem pendidikan negara. Justeru, para guru, ibu-bapa serta pihak yang berkepentingan seharusnya berganding bahu dalam memantapkan pelaksanaan PBS dan PBD untuk terus memacu taraf dan hala tuju bidang pendidikan negara.


        Artikel ditulis oleh: Dr Poh Swee Hiang dan Fitriatul Audra