Sistem pendidikan sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) turut berubah bagi memenuhi keperluan semasa. Seiring dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025, bahan digital mula memainkan peranan yang semakin penting dalam proses PdP. Artikel ini akan menerangkan beberapa kaedah pembelajaran yang sedang digunakan dalam dunia pendidikan secara ringkas. Dengan ini, para pembaca dapat menggambarkan peranan bahan digital dalam sistem pendidikan yang baharu.

 

 Pembelajaran secara Tradisional (Traditional Learning)

Pembelajaran secara tradisional dijalankan di sekolah. Guru dan murid-murid perlu berada di dalam kelas yang sama. Guru mengajar secara bersemuka dengan menggunakan bahan-bahan pengajaran yang diperoleh daripada buku teks dan buku rujukan. Murid pula perlu menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru dalam bentuk buku latihan.

 

 

Pembelajaran Jarak Jauh (Remote/Distance Learning)

Pembelajaran jarak jauh merujuk kepada guru dan murid tidak bersemuka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru menghantar bahan pengajaran kepada murid yang berada di lokasi yang lain, malah murid belajar berdasarkan bahan pengajaran tersebut sendiri. Pembelajaran jarak jauh telah diperkenalkan sejak tahun 1840-an. Sir Isaac Pitman mengajar tulisan ringkas (shorthand) dengan menggunakan sistem pengeposan di England1. Sistem pembelajaran jarak jauh semakin berkembang dengan kemajuan teknologi, terutamanya teknologi maklumat. Dengan adanya teknologi Internet, pembelajaran jarak jauh telah berubah daripada penghantaran maklumat pengajaran kepada murid melalui pos kepada guru memuat naik bahan pengajaran di platform LMS (Learning Management System). Selepas penggunaan Internet dan LMS, sistem pembelajaran jarak jauh sekarang lebih merujuk kepada pembelajaran dalam talian (online learning).

 

 

Sebelum penularan COVID-19, pembelajaran dalam talian biasanya digunakan untuk pihak universiti. Pihak pendidik menggunakan audio, video dan teks untuk menyampaikan bahan pengajaran. Murid mengaturkan masa sendiri untuk akses kepada bahan pengajaran tersebut bagi pembelajaran kendiri.

Akibat daripada pandemik COVID-19, penutupan sekolah menyebabkan pembelajaran dalam talian menjadi kaedah penyampaian ilmu pengetahuan yang paling sesuai digunakan. Untuk melaksanakan PdPR, guru-guru terpaksa menjalankan pengajaran secara Live melalui Google Meet, Zoom, Youtube, Microsoft Teams atau Facebook Live. Bagi memudahkan sesi pengajaran, guru menggunakan perisian seperti Microsoft Power Point, Nearpod, myViewBoard dan sebagainya untuk mempersembahkan bahan pengajaran masing-masing di samping memastikan penglibatan murid sepanjang sesi pengajaran.

Dengan adanya pelbagai aplikasi seperti Google Quiz, Quizizz, Kahoot, Wordwall dan sebagainya, kerja rumah atau latihan yang diberi oleh guru tidak lagi terbatas kepada buku, malah boleh diberi dalam bentuk permainan bagi menarik minat dan mendorong murid untuk menyiapkannya.

Penggunaan sistem LMS seperti Google Classroom, Moodle, Seesaw dan lain- lain telah meningkat secara mendadak di seluruh dunia selepas penularan COVID-19. Lebih ramai pendidik mengkaji dan menggunakan LMS bagi menggalakkan pembelajaran dalam talian.

 

 

Pembelajaran Campuran (Blended Learning)

Pembelajaran campuran atau lebih dikenal sebagai blended learning merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan bahan pengajaran tradisional dengan bahan pengajaran yang menggunakan teknologi. Guru akan mengajar secara bersemuka dengan murid di dalam kelas. Tetapi guru akan menggantikan sesetengah bahan pengajaran tradisional seperti teks dengan bahan pengajaran teknologi seperti video, audio dan sebagainya. Misalnya, guru boleh menayangkan video pembentukan gunung lipat di dalam kelas bagi menggantikan pengajaran melalui lukisan gambar rajah pada papan hitam sahaja.

Penggabungan elemen teknologi dalam proses pengajaran  dan pembelajaran dapat membantu murid memahami sesuatu konsep dengan lebih mendalam. Oleh sebab elemen digital digabungkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekolah perlu dilengkapkan dengan peralatan seperti komputer, pembesar suara, projektor dan sebagainya. Perkhidmatan Internet tidak semestinya diperlukan dalam kelas pembelajaran campuran, bergantung pada bahan digital yang digunakan oleh guru. Dari segi pentaksiran, guru boleh memilih untuk memberikan kerja rumah atau latihan dalam bentuk buku atau dalam bentuk digital.

 

 

Pembelajaran Hibrid (Hybrid Learning)

Pembelajaran hibrid pula merujuk kepada kelas bersemuka berlangsung secara serentak dengan kelas dalam talian. Dalam pembelajaran hibrid, sebahagian murid hadir di dalam kelas dengan guru, manakala sebahagian murid mengikuti kelas di rumah masing-masing pada masa yang sama dengan menggunakan aplikasi seperti Google Meet. Pembelajaran hibrid dapat memastikan penjarakan sosial dipatuhi di sekolah dan juga memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala.

Sama seperti pembelajaran campuran, pembelajaran hibrid juga memerlukan peralatan seperti komputer, pembesar suara dan projektor di dalam kelas. Bagi membolehkan pembelajaran dijalankan dengan lancar, peralatan lain seperti drawing tablet, presenter clicker dan sebagainya mungkin diperlukan oleh guru juga. Dalam

Pembelajaran hibrid, rangkaian Internet pula merupakan sesuatu yang wajib bagi memastikan pelaksanaannya. Dari segi pentaksiran, guru juga boleh memberi kerja rumah atau latihan dalam bentuk buku mahupun bentuk digital bergantung pada kesesuaian (suitability) dan ketersediaan (availability).

 

 

Perbandingan antara Jenis Kaedah Pembelajaran secara Umum

 

 

 Kelas Tradisional VS Kelas Terbalik (Flipped Classroom)

Di dalam kelas tradisional, guru akan memastikan murid dapat mengingat dan memahami fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari di sekolah. Tetapi, kerja rumah, latihan atau projek yang diberikan kepada murid pula merangkumi soalan yang beraras tinggi.

 

Kelas Tradisional

Di dalam kelas tradisional, guru akan memastikan murid dapat mengingat dan memahami fakta atau pengetahuan yang telah dipelajari di sekolah. Tetapi, kerja rumah, latihan atau projek yang diberikan kepada murid pula merangkumi soalan yang beraras tinggi.

Sebagai contoh, guru mengajar di dalam kelas tentang imperialisme kuasa Barat di Tanah Melayu. Guru akan menerangkan faktor-faktor kedatangan kuasa Barat, cara kuasa Barat menguasai Tanah Melayu, kesan imperialisme terhadap Tanah Melayu. Selepas itu, murid pula perlu menjawab soalan KBAT seperti “Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi terhadap penduduk di Tanah Melayu sekiranya tidak berlaku penjajahan kuasa Barat?” Selepas sesi persekolahan, murid hanya dapat mengingat dan memahami fakta, mereka tidak tahu cara menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta- fakta, sebab tidak diajar atau dilatih untuk berbuat demikian di sekolah. Maka murid tidak dapat menyiapkan kerja rumah tersebut, akibatnya, murid tidak yakin terhadap diri sendiri dan akhirnya hilang minat untuk belajar.

 

 

Kelas Terbalik (Flipped Classroom)

Mengikut pendekatan kelas terbalik, Taksonomi Bloom diterbalikkan. Guru memberikan bahan bacaan, video penerangan dan sebagainya kepada murid untuk belajar di rumah terlebih dahulu. Murid dapat mengingat dan memahami fakta atau pengetahuan mengikut masa dan rentak masing- masing sebelum sesi persekolahan.

Apabila murid hadir diri di sekolah, mereka akan diberikan soalan atau terlibat dalam aktiviti yang mencabar. Murid dapat berbincang, berdebat, atau bekerjasama antara satu sama lain untuk menyelesaikan soalan atau masalah yang dikemukakan dengan bantuan guru. Dengan cara ini, murid bukan sahaja dapat menimba ilmu, malah dapat belajar cara berinteraksi, bekerjasama dengan rakan dalam menyelesaikan masalah dan sebagainya.

 

 

Tawaran Bahan Pembelajaran daripada Penerbitan Pelangi Sdn Bhd

Sebagai kesimpulan, terdapat pembelajaran tradisional dan pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran dalam talian. Dengan perkembangan teknologi, guru mula menggunakan atau menerapkan elemen digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka wujudlah pembelajaran campuran. Akibat daripada penularan COVID-19, pembelajaran hibrid pula mula diamalkan di sekolah. Guru boleh mengendalikan kelas dengan pendekatan kelas tradisional atau kelas terbalik sama ada melalui kaedah pembelajaran tradisional, pembelajaran dalam talian, pembelajaran campuran atau pembelajaran hibrid.

 

Penerbitan Pelangi  Sdn Bhd sebagai perintis dan peneraju dalam bidang penerbitan di Malaysia, sememangnya sentiasa bersiap sedia menghasilkan buku-buku dan bahan pengajaran yang berkualiti lagi sesuai digunakan oleh guru dan murid. Pelbagai jenis buku telah diterbitkan sejak tahun 1979 dengan tujuan membantu mereka yang hendak belajar. Penerbitan Pelangi Sdn Bhd juga telah melancarkan platform ePelangi+ bagi memenuhi keperluan jenis pembelajaran yang memerlukan bahan digital. Guru boleh menggunakan kombinasi bahan pengajaran yang dibekalkan dalam ePelangi+ dan kandungan dalam buku bercetak untuk menyediakan dan melaksanakan RPH (Rancangan Pengajaran Harian) masing-masing. Pelangi menyediakan bahan-bahan yang sesuai untuk semua jenis kaedah PdP yang dibincangkan dalam artikel ini.

 

 Artikel ditulis oleh: Heng Yann Ling yannling@pelangibooks.com

 Pembaca pruf: Norlia Mohd Sap

 

 Rujukan:

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Distance_education
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Flipped_classroom